Sabtu, 23 April 2011

Elak berkawan lelaki Afrika?

Wisma Putra hari ini menasihatkan gadis-gadis muda tempatan terutamanya dari kawasan pedalaman agar tidak mudah terpedaya dengan lelaki kulit hitam yang dikenali menerusi laman sosial.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata, ini bertujuan mengelakkan mereka terpedaya dijadikan keldai dadah oleh sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

“Saya amat kecewa apabila seorang gadis Malaysia berusia 22 tahun dan sedang menuntut di Kolej Segi ditahan di Shenzhen, China 29 Mac lalu apabila pihak berkuasa menemui sejumlah dadah dalam perutnya.

“Gadis Dayak dari Sarawak ini baru berkenalan dengan seorang lelaki kulit hitam menerusi laman sosial Facebook tahun lalu. Tteruja dengan bayaran RM5,000 dia telah menelan 100 biji heroin seberat 700 gram untuk dihantar ke Shenzhen,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Keluarga Wisma Putra di sini hari ini.

Lebih menyedihkan katanya, gadis tersebut tidak pernah berjumpa dengan “kekasihnya” itu dan semasa ditemui wakil konsulat Malaysia di China dia merayu agar kesnya tidak dimaklumkan kepada keluarga.

Sebaliknya memohon bantuan kewangan dari konsulat kerana kesukaran membeli makanan di penjara Shenzhen.

Jelas beliau, Wisma Putra tidak boleh campur tangan dalam undang-undang melibatkan negara lain sebaliknya hanya menghulurkan bantuan sekiranya diminta oleh keluarga mangsa.

Richard memberitahu, statistik menunjukkan sehingga 31 Mac lalu seramai 1,880 rakyat Malaysia ditahan di luar negara dengan 833 daripadanya didakwa terbabit dengan kes penyeludupan dadah.

Daripada jumlah itu, seramai 675 membabitkan lelaki manakala 158 ialah wanita.
( Sumber - Utusan )

Isnin, 4 April 2011

Menteri Besar tuai hasil pertama nanas Kedah Agro

BUKIT KAYU HITAM – Sebagai simbolik terhadap hasrat Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak untuk menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur beliau turun padang untuk menuai sendiri hasil pertama tanaman nanas ladang Kedah Agro di Laka Temin.

Kedah Agro melalui anak syarikatnya, Kedah Agro Cashcrop Sdn Bhd telah membangunkan ladang nanas yang berkeluasan 50 ekar disewa daripada Syarikat Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd telah ditanam dengan 650,000 batang sulur sejak April 2010.

Hasil daripada kejayaan tersebut telah menarik minat seorang pemilik tanah berhampiran untuk turut serta mengusahakan tanaman nanas. Beliau memberi sewa 50 ekar kepada Kedah Agro Cashcrop. Kini, keluasan tanaman telah mencecah 100 ekar.

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan turut menyaksikan perjanjian usahasama yang ditandatangani antara Kedah Agro Cashcrop dengan syarikat pengeksport hasil pertanian, Tropical Precious Sdn Bhd.

Menerusi perjanjian, hasil tanaman Kedah Agro akan dipasarkan oleh Tropical Precious untuk pasaran antarabangsa, iaitu ke China, Dubai, Taiwan dan Hong Kong.

Seminggu sebelum itu, YAB Dato’ Seri turut melakukan lawatan kerja ke projek tanaman nanas di Kampung Sungai Batu Pahat, Merbok. Projek ini diusahakan oleh seorang usahawan dibawah bimbingan Jabatan Pertanian.

Selain itu, Kedah Agro juga sedang giat mengusahakan tanah seluas 800 ekar di Bukit Tangga yang ditanam dengan nanas seluas 200 ekar dan selebihnya ditanam dengan tanaman kontan lain seperti betik dan pisang. Projek ini sudah dimulakan sejak Februari lalu.
(Sumber: Warta Daru Aman)