Ahad, 4 Januari 2009

JANGAN SEKAT HASRAT KAMI

Oleh Ainul Asniera Ahsan (Utusan Malaysia)
Tony Fernandes (kiri) dan Kamaruddin Meranun menerangkan isu pembinaan KLIA-East di Labu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
SEPANG 12 Jan. - AirAsia Bhd. (AirAsia) meminta para pengkritiknya supaya tidak menyekat hasrat untuk 'terbang jauh lebih tinggi' dalam misinya menguasai industri penerbangan di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Tony Fernandes berkata, semua pihak sepatutnya memberinya ruang dan peluang supaya AirAsia mampu bersaing lebih hebat dengan Singapura yang didakwanya telah mengambil peluang secukupnya daripada ketidakcekapan Malaysia mengendalikan industri berkenaan.

''Mengapa hendak halang dan mengkritik apa yang kami lakukan. Sepatutnya seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada AirAsia. ''AirAsia diterajui oleh rakyat Malaysia, walaupun kami bukan syarikat milik kerajaan (GLC). Kalau kami mampu dan berupaya melakukannya (menguasai industri penerbangan) mengapa hendak 'bunuh' kami?

''Berilah AirAsia peluang untuk tunjukkan kemampuan kami kepada dunia,'' katanya dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini. Beliau berkata demikian ketika minta mengulas mengenai pelbagai reaksi negatif mengenai cadangan AirAsia untuk membina Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) baru yang dikenali KLIA-East di Labu.

Katanya, AirAsia kini sudah pun berjaya mengatasi kedudukan Singapura sebagai hab penerbangan tambang murah kerana sudah memiliki kapasiti penumpang sebanyak 12 juta berbanding dua juta oleh pesaingnya. Jelasnya, AirAsia amat memerlukan LCCT sendiri yang berupaya menyediakan kemudahan yang jauh lebih baik kepada syarikat dan penumpang memandangkan terminal sedia ada yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) tidak mampu memenuhi pertumbuhan pesat syarikat penerbangan tambang murah tersebut.

Beliau menambah, meskipun MAHB menyatakan akan membina terminal LCCT baru yang lebih selesa tetapi AirAsia masih ragu-ragu dengan cadangan itu kerana sehingga hari ini tiada kata putus. ''Lihat sahaja kerja-kerja pembesaran di LCCT ini, dulu kata boleh siap pada September 2007 tetapi sudahpun Januari 2009, kerja-kerja itu masih berjalan,'' katanya.

Malah, dalam serba kekurangan kemudahan di LCCT, AirAsia masih perlu membayar sewa setanding dengan kadar yang dikenakan di terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dalam pertemuan itu, Fernandes turut melahirkan rasa kecewa dengan tanggapan pengkritiknya yang mendakwa AirAsia bagaikan anak emas kepada kerajaan kerana segala kehendaknya dituruti.

Beliau berkata, apa yang diperoleh oleh AirAsia adalah hasil kerja kerasnya untuk memastikan syarikat penerbangan tambang murah itu mampu meneruskan kelangsungan hidupnya dalam industri itu. ''Apa yang AirAsia dapat? Kita minta subsidi, sampai sekarang tidak dapat, begitu juga dengan beberapa laluan yang dicadangkan.

''AirAsia mendapat laluan Singapura selepas tujuh tahun berjuang. Kalau tidak macam mana kami hendak bersaing?,'' tambahnya. Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamarudin Meranun yakin pembinaan KLIA- East mampu merancakkan tumpuan syarikat itu untuk menguasai industri penerbangan.

''Tidak dinafikan, saya dan Fernandes tidak ada pengalaman dalam industri lapangan terbang, sama juga ketika kami mula-mula terlibat dalam industri penerbangan. ''Tetapi kami telah buktikan daripada dua kapal terbang, kini AirAsia sudah memiliki 75 buah pesawat. Dengan jumlah 200,000 penumpang tujuh tahun lalu kini kami mempunyai 12 juta.

''Yang penting kami telah banyak memberi sumbangan kepada ekonomi negara dan berjaya merealisasikan impian jutaan rakyat Malaysia untuk terbang ke destinasi impian mereka,'' tambah beliau. Ditanya apakah AirAsia telah mengambil kira setiap risiko sebelum mengambil keputusan mengendalikan terminal LCCT sendiri, Kamaruddin berkata: ''Kami mempunyai pelan perniagaan jangka panjang dan oleh sebab itu kami merancang untuk menambah lebih banyak pesawat pada masa depan''.

Bagaimanapun, katanya, sebagai organisasi yang terlibat dalam perniagaan, AirAsia tidak boleh lari daripada masalah akan datang kerana ia adalah pusingan kehidupan. ''Kita boleh berusaha mengatasi segala masalah yang datang dan selebihnya berserah kepada-Nya,'' ujar beliau.
BOIKOT BARANGAN AMERIKA DAN JANGAN SOKONG BENTUK KEZALIMAN.

Tiada ulasan: