Selasa, 15 Jun 2010

Pengalaman selebriti menerusi Insaf


DARI kanan: Malek, Ziela, Dr. Sam, Badrul Azhar, Othman dan Zulkarnain pada majlis pelancaran buku Insaf...Perjalanan Kami Mencari Tuhan di Kompleks Sri Utusan Bangi baru-baru ini.

DALAM meniti perjalanan kehidupan di dunia ini, manusia sering leka dan alpa dengan kemewahan serta keseronokan yang dikecapi. Diibaratkan sebagai pelakon di pentas dunia, mereka tenggelam dek hasutan hawa nafsu yang sentiasa mengajak manusia ke arah kejahatan.

Kepada mereka yang menyedari tujuan sebenar kehidupan yang merupakan wasilah ke alam kekal abadi di akhirat kelak, sudah pasti ia akan dipenuhi dengan perkara yang baik dan mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Namun, ada juga manusia yang pada mulanya hidup dalam kemaksiatan dan tanpa pegangan agama akhirnya kembali ke pangkal jalan selepas menerima hidayah Allah tidak kira sebanyak mana pun dosa yang pernah dilakukan.

Koleksi pengalaman

Menyedari pentingnya pengalaman yang dilalui oleh individu sedemikian rupa untuk dijadikan pedoman kepada orang lain, maka Utusan Karya Sdn. Bhd. mengambil inisiatif membukukan koleksi pengalaman beberapa individu dengan menerbitkan sebuah buku bertajuk Insaf...Perjalanan Kami Mencari Tuhan.

Dilancarkan pada 1 Jun lalu di Kompleks Sri Utusan, Bangi buku tersebut sememangnya memberi 1,001 kesan kepada mereka yang membacanya.

Objektif utama penerbitan buku itu ialah untuk mengajak pembaca mendekat dan merapatkan diri dengan Allah.

"Mesej itu dipersembahkan melalui cerita-cerita yang memberikan pengajaran yang dilalui oleh para penceritanya sepanjang perjalanan mereka untuk mengubah cara hidup semata-mata mencari reda Ilahi.

"Apa yang menarik di dalam buku ini ialah ia turut memaparkan pengalaman beberapa selebriti yang sudi menceritakan titik tolak kepada perubahan ke arah kebaikan yang dilakukan dalam kehidupan masing-masing," kata Ketua Pengarang Majalah Utusan Karya Sdn. Bhd., Badrul Azhar Rahman. Antaranya ialah jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, bekas pelakon dan penyanyi terkenal, Noorkumalasari, penyanyi kumpulan E.Y.E, Mohd. Izam Mohd. Arshad atau Izam dan bekas DJ popular, Irwan Shah.


TERDAPAT 34 kisah menarik dan menginsafkan dipaparkan dalam buku ini.

"Saya percaya niat mereka berkongsi pengalaman hanya satu iaitu mengajak masyarakat kembali mendekatkan diri kepada Tuhan, menjadi umat Islam yang terbaik di dunia dan akhirat," kata Badrul.

Pada majlis pelancaran itu juga, Malek, Ziela dan Dr. Sam tidak malu bercerita mengenai kisah silam masing-masing yang jauh tersasar daripada ajaran Islam sebenar.

Sambil mengimbas semula kisah yang dialami satu ketika dahulu, ternyata semuanya tidak mampu membendung kesedihan.

"Alhamdulillah, Allah masih menyayangi saya kerana memberi hidayah untuk kembali menjalani kehidupan sebagai seorang Islam.

"Jika tidak, mungkin sekarang saya sudah semakin hanyut dengan permainan duniawi," ujar Malek yang pernah bergelar jaguh bina badan Asia (Mr. Asia) sebanyak enam kali.

Secara keseluruhan, terdapat 34 kisah menarik dan menginsafkan dipaparkan di dalam buku itu. Antaranya termasuklah kisah keistimewaan orang alim, peristiwa aneh sewaktu koma, mimpi yang menakutkan, keinsafan seseorang selepas ditimpa pelbagai musibah, jenazah alam kubur dan sebagainya.

Cerita-cerita itu pula membawa tema yang amat sesuai pada masa kini seperti masalah pembuangan bayi, maksiat, perebutan kuasa dan amalan ilmu hitam yang membawa kesan buruk kepada individu yang melakukannya.

Majlis pelancaran buku Insaf... Perjalanan Kami Mencari Tuhan itu disempurnakan oleh Malek, Ziela Jalil dan Dr. Sam Rasputin yang lebih dikenali sebagai Dr. Sam. Dr. Sam pernah popular dengan lagu Saya Anak Malaysia satu ketika dahulu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad, Pengarang Kanan Unit Majalah Umum, Zulkarnain Zakaria, bekas-bekas pengarang Mastika dan wakil-wakil media.

Buku ini dijual pada harga RM9.90 dan boleh didapati di toko-toko buku utama di seluruh negara.

(Sumber : Kosmo.com.my)

Tiada ulasan: