Sabtu, 2 Mei 2009

MAHU KE MANA SOI LEK?


Kluang 2 Mei 2009 - Pucuk pimpinan MCA perlu menangani sendiri isu membabitkan spekulasi Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akan melompat parti dan menyertai pakatan pembangkang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, isu itu timbul mungkin disebabkan masalah yang telah lama terbuku di hati Soi Lek yang perlu dilihat dan didekati pucuk pimpinan MCA. Menurutnya, selaku rakan lamanya, beliau berasa sedih jika bekas Menteri Kesihatan itu benar-benar berhasrat keluar MCA dan menyertai pembangkang.

''Ini kerana Soi Lek merupakan seorang pejuang yang memahami sangat apa yang telah kita perjuangkan di bawah Barisan Nasional (BN) sekian lama," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat jawatankuasa UMNO Sembrong di Taman Sri Lambak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai kemungkinan Soi Lek yang juga Pengerusi Biro Pemantauan Dasar Kerajaan akan keluar parti dan menyertai pembangkang. Kenyataan Soi Lek dipetik dalam laman portal The Nut Graph baru-baru ini.

Mengenai anak Soi Lek, Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis (BN) mungkin menuruti langkah bapanya, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, adalah tidak wajar jika Tee Yong bertindak demikian.

''Kita berada dalam parti dan menjadi wakil rakyat bukan kerana hubungan keluarga tetapi disebabkan tanggungjawab dan amanah kepada orang ramai," katanya.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: